Sunday, 8 May 2016

Cara Mengenalpasti Raket Badminton Original Dengan Raket Tiruan

Untuk pengetahuan semua peminat sukan badminton Malaysia, terdapat pelbagai jenis gred raket badminton di pasaran. Kadang-kadang kita tak tau mana satu nak dipilih dan tak tau bagaimana kenalpasti yang original dan tiruan. Adalah penting untuk pembeli mengetahui jenis dan grade raket yang mereka akan beli untuk memastikan kualiti dan kepuasan membeli. Mari saya terangkan perbezaan dan gred raket tiruan dan raket original/asli.
Raket original vs raket tiruan

Gred-gred raket yang ada ialah gred original atau tulen dan gred tiruan. Semestinya ramai peminat badminton yang ingin membeli raket gred original atau tulin. Tetapi untuk membeli raket berjenama dan mempunyai model seperti yang digunakan oleh pemain professional terkemuka seperti Dato Lee Chong Wei, Lin Dan, Cheng Long, Lee Yong Dae dan ramai lagi, harganya bukanlah murah. Kadang-kadang harganya boleh mencecah ribuan ringgit.

Pagi peminat tegar mungkin mereka sanggup berbelanja sebanyak itu. Kata orang, alah membeli menang memakai. Itu bukan masalahnya yang saya hendak huraikan di sini. Masalahnya ialah katakan anda sudah mempunyai jumlah duit yang cukup untuk membeli sebatang raket Yonex Voltric 80 yang berharga RM800 kerana raket ini pernah digunakan oleh Dato Lee Chong Wei.

Anda pergi ke kedai dan membeli raket tersebut dengan harga seperti mana yang disebutkan di atas. Anda puas hati pada mulanya dan ingin menunjuk-nunjuk dengan kawan-kawan raket baru anda itu. Setibanya di gelanggang badminton, anda pun tayang-tayangkan raket tersebut. Tetapi ada seseorang yang lebih mengetahui tentang raket memberitahu yang raket yang anda beli adalah raket tiruan.

Saya rasa anda pasti sangat kecewa lebih-lebih lagi kedai di tempat anda beli itu tidak mahu bertanggungjawab dan berkeras menipu anda dengan mengatakan raket tersebut adalah Yonex tulen. Anda akan rasa tertipu dan kepuasan membeli langsung tidak wujud. Bayangkanlah kekecewaan.

Oleh sebab  itu di sini saya ingin terangkankan cara-cara mengetahui raket yang tulen dan bukan tulin atau tiruan.

Opppss!!! Tunggu dulu. Raket tiruan pun ada juga pelbagai gred. Mari baca dulu berkenaan dengan raket tiruan. Baiklah…tak semua kita mampu membeli raket berjenama Yonex, Lining atau Victor yang berharga ratusan (melebihi RM500) atau ribuan ringgit.

Seperti yang saya huraikan di atas, raket yang modelnya digunakan oleh Dato Lee Chong Wei seperti Yonex Duora, Z-Speed, Voltric 80 dan Armotec. Raket yang digunakan oleh Lin Dan seperti Li Ning N90. Harga raket Li Ning N90 II mencecah ribuan ringgit sebab ia dipakai oleh juara dunia. Bagi sesetengah orang, ia ibarat satu bulan gaji. Tetapi kita masih boleh bergaya dengan memakai raket tiruan yang paling berkualit tetapi sekurang-kurangnya poket tak hangus.

Jadi raket-raket seperti yang disebutkan di atas ada dikeluarkan tiruan. Bagi raket-raket tiruan, ia terdapat dalam gred AAA, gred AA dan Gred A. Ada juga informasi yang mengatakan gred B dan C tetapi di sini saya nak cakap mengenai  gred AAA, AA dan A sahaja.

Racket gred AAA adalah raket yang dibuat dengan kualiti yang terbaik dan hampir 99% menyamai raket tulin. Kadang-kadang, pembeli sampai percaya ianya adalah tulin. Raket tiruan gred AAA dicat hampir sama kualiti dengan yang tulin. Begitu juga dengan rasa penggunaannya. Nombor siri juga mempunyai nombor siri yang serupa dengan yang tulin.

Tarikan tali bagi boleh juga mencapai 30lbs menyerupai yang tulin. Cuma mungkin anda akan dapat merasakan perbezaan setelah memakainya dengan membandingkannya dengan yang tulen.

Harus diketahui, harga raket gred tiruan gred AAA adalah diantara RM150 hingga ke RM250. Walaupun tiruan, banyak pembeli yang berkata ada kepuasan membeli setelah memakai raket tiruan gred AAA ini. Apa tidaknya, gaya ada, rupa ada dan masih mempunyai kualiti seolah yang tulin.

Gred kedua ialah gred AA. Kualiti semestinya lebih rendah dari gred AA. Terdapat kecacatan dari segi pengecatan berbanding raket gred AAA. Raket gred AA juga mempunyai serial number yang boleh nampak ketara ketidaktulenannya.

Contohnya raket tulen dan gred AAA mempunyai serial number dikhat dengan laser seperti 84567 SP atau JP, tetapi gred AA langsung tidak mempunyai SP atau JP. Ia juga bukan dikhat dengan laser tetapi sebaliknya dicetak dan boleh dikikis. Had tarikan tali string bagi raket gred AA adalah antara 25lbs-26lbs.

Tulisan perkataan jenama juga mempunyai kecacatan. Contohnya Yonex tulin mempunyai tulisan yang agak tebal, manakala raket gred AA mempunyai tulisan yang agak kurus.

Warna buttcap juga berwarna hijau terang. Tak perlu saya terangkan rasa penggunaannya. Sudah tentu tidak memuaskan hati. Ini sesuai digunakan oleh orang yang baru berkecimpung dalam permainan badminton atau bagi yang hanya bermain untuk suka-suka. Harga raket ini adalah antara RM80-RM150. Tetapi jangan samakan harga ini dengan harga raket APACS, RSL, Flex Power dan beberapa raket jenama buatan Malaysia. Raket ini memang murah tetapi mempunyai kualiti setanding yang tulin.

Gred ketiga ialah gred A. Harga adalah dibawah RM80. Senang untuk mengetahui. Kualiti memang sangat rendah. Bahan yang digunakan juga adalah berkualiti rendah. Ada yang berat dan bagi yang ringan adalah senang patah. Pengecatan juga teruk. Banyak kesilapan dari segi pengecatan. Kadang-kadang jenama boleh tersilap cetak seperti Yonex menjadi Yonnex atau Yonexx. Tiada nombor siri dan tarikan tali tidak boleh melebihi 24lbs.

Memang tidak berbaloi dibeli tetapi sesuai untuk mainan kanak-kanak atau budak sekolah rendah. Kalau patah, tak sakit hati.

Dibawah ini saya sertakan contoh gambar raket tulin (atau gred AAA) dan perbezaan dengan raket tiruan gred AA dang red A. Di sebelah kiri sekali adalah raket tulin.

Nombor siri tulin ada code JP atau SP atau CN. JP bagi code pembuatan separuh di Japan, SP untuk pengeluaran khas dan CN bagi pembuatan seluruhnya di China.



Tulisan yang tebal adalah raket tulen.



Sticker pengesahan Tulen sangat melekat tetapi yang bukan tulin senang tertanggal. 

 
Warna hijau agak tua bagi yang tulen berbanding terlalu muda bagi yang tiruan.


Ini Stiker terbaru Yonex yang Tulen (Genuine)

Saya berharap, maklumat yang saya beri ini mampu memberi panduan kepada semua supaya kita tidak mudah ditipu oleh peniaga.

Sekian terima kasih. Berminat ingin ketahui lebih lanjut tentang raket dan jika ingin membeli raket berkualiti pada harga mampu milik, boleh whatsapp 0168655075.

Read more

Monday, 25 April 2016

Cara Mencegah dan Melambatkan Pertumbuhan Kanser Dengan Daun Betik

Menurut satu kajian di Universiti of Florida, daun betik dikatakan mempunyai fungsi anti-kanser yang mana pengambilan daun betik berupaya melambatkan pertumbuhan tumor. Pengambilan ekstrak daun betik adalah lebih baik berbanding kaedah chemotherapy yang memberi kesan negatif.
Cara melambatkan pertumbuhan kanser
Mesti ramai yang suka makan betik terutamanya kaum wanita. Kebiasaannya kita makan betik kerana ia menyejukkan badan dan memudahkan kita ke toilet. Tapi itu buah betik. Kalau makan daun betik pasti ramai yang tak suka. Sebab daun betik ni pahit.

Masa saya kecil dulu, mak saya ada sekali sekala bagi saya minum air daun betik terutamanya ketika saya sakit. Saya tidak tahu kebaikannya ketika itu. Kebiasaannya saya tidak suka minum kerana ia pahit. Kalau buah betik lainlah, memang tu favourite saya. Di kampung tu memang banyak pokok betik, tak pernah bosan saya makan betik.

Ingat lagi dulu, saya sanggup panjat pokok betik, tinggi pula tu. Bukannya taknak jolok tapi penjoloknya hilang. Oleh sebab terlalu mengidam, saya panjat. Tak perasan pula ada seekor ular di bawah pokok tu sedang merenung kat saya. Ular ni bukan sembarang ular. Ular ni colourful dan boleh terbang.

Saya dah agak dah sebenarnya yang ular ni target nak terkam saya. Masa ular tu nak serang saya, saya terbang/terjun ke bawah terlebih dahulu. Sakit jugalah badan ni, koyak lutut saya. Tapi nasib baiklah ular tu dah pergi dan tak kejar saya dah. Huhu. Betiknya tak dapat, sakit yang dapat. Lepas tu tunggu bapa balik baru suruh dia jolokkan. Yang penting, saya dapat makan betik tu.

Okay, berbalik kepada tajuk utama iaitu khasiat daun betik.

Berdasarkan kajian yang dijalankan di Florida, semakin banyak ekstrak daun betik yang diminum, semakin kuatlah kesannya sebagai anti-kanser dan daya ketahanan tubuh juga lebih kuat. Ini merupakan penemuan yang sangat berguna dan penting kerana setiap hari jumlah penghidap kanser semakin meningkat.

Mudah-mudahan dengan penemuan ini semakin ramai penghidap kanser tidak perlu melalui rawatan kemoterapi yang menyakitkan dan risiko untuk mendapat kanser juga berkurangan.

Jika anda nak tahu ekstrak daun betik ni bukan saja boleh melambatkan pertumbuhan tumor tetapi ia juga;

1.Sumber tenaga
2.Bagus untuk jantung dan gastrik
3.Mencegah katarak
4.Mengurangkan kerengsangan
5.Mengurangkan keletihan dan perut kembung
6.Mengurangkan paras gula dalam darah
7.Mengurangkan sakit senggugut
8.Mengatasi masalah penghadaman dan perkumuhan
9.Mengubat demam denggi

Jika anda ingin meminum jus daun betik, anda boleh campurkan dengan jus lain supaya dapat mengurangkan rasa pahit.
Daun betik mengandungi nutrisi penting seperti Vitamin A, B1, C dan E, kalori, protin, karbohidrat, kalsium, fosforus, zat besi dan air.

Disebabkan betik mengandungi Vitamin C dan A yang tinggi, ia sangat bagus untuk kesihatan kulit. Daun betik merupakan agen pembersihan kulit, ia mengandungi karpain yang membantu menghalang mikroorganisma dan toksin lain daripada merosakkan kulit.

Tentu ramai yang tidak tahu ekstrak daun betik digunakan di dalam produk rawatan rambut seperti syampu dan perapi. Ia bertujuan untuk membantu pertumbuhan rambut, menguatkan rambut dan mencegah masalah botak dan kelemumur.

Jika perapi yang mengandungi daun betik ini digunakan sekali dengan air santan dan madu, kesannya pada rambut berkali ganda lebih baik.

Peringatan: Sila minta nasihat doktor sebelum meminum jus daun betik, lebih-lebih lagi jika anda mengambil ubatan. Jangan minum jus daun betik jika anda menyusu dan mengandung.

Read more

Thursday, 14 April 2016

9 Perkara Anda Perlu Tahu Apabila Membeli Barang Di Taobao

Tentu anda tidak tahu terdapat berjuta-juta penjual di dalam Taobao dan mereka menjual bermacam-macam jenis produk, kadang-kadang terdapat produk yang dijual tu kita tidak pernah dengar atau tahu kewujudannya. Itulah keunikan China, mereka mampu mencipta apasaja bukan saja menciplak. Sebab itulah kebarangkalian untuk menemui penjual palsu atau scammer juga tinggi.
Tips membeli barang di taobao
Saya tahu ramai yang suka membeli-belah di Taobao kerana pilihan produk yang sangat luas. Anda boleh beli aksesori, pakaian, kasut, peralatan elektronik, dan banyak lagilah yang dapat anda belikan. Namun begitu terdapat beberapa perkara yang harus anda ambil kira dan tahu jika ingin membeli di Taobao.

Berikut adalah perkara yang wajib diketahui oleh para pengguna Taobao:

1.Gambar atau imej produk
Kita sebagai manusia memiliki emosi dan kita sudah tentu mudah tertarik kepada sesuatu yang cantik. Ha..anda jangan mudah tertarik dengan gambar produk okay. Jangan terkejut jika beg yang anda inginkan berwarna hitam tetapi yang anda terima adalah berwarna kelabu..huhu..Tentu sangat kecewa bukan?

2.Barang tidak selalu ada
Sudah menjadi kebiasaan pembeli mendapat refund disebabkan stok di dalam Taobao yang cepat habis. Walaupun kita beli dan bayar tidak semestinya produk itu masih ada. Anda hanya akan pasti terima barang tersebut jika anda menerima status pengiriman berjaya.

3.Produk diterima tidak asli
Sesetengah pembeli mudah tertipu apabila melihat jenama terkenal seperti Adidas pada sepasang kasut. Dia mungkin percaya itu adalah barangan Adidas original. Jangan terkejut jika kasut Adidas tu menjadi Adidos nanti.

4.Pembayaran menggunakan Alipay
Taobao menggunakan matawang Yuan dan salah satu cara pembayaran adalah dengan menggunakan Alipay. Alipay ni seperti Paypal. Cuma masalahnya laman web Alipay masih di dalam bahasa Mandarin.

5.Bahasa
Oleh sebab Taobao di dalam bahasa mandarin, kita terpaksa translate menggunakan browser chrome supaya dapat translate kepada bahasa English. Namun google tidak terjemah sepenuhnya dan terjemahan juga tidak 100% tepat.

6.Pencarian produk di dalam Taobao boleh dikatakan mudah. Anda boleh mencari produk berdasarkan populariti, reputasi penjual, harga dan sebagainya.

7. Anda dinasihatkan untuk membeli daripada penjual yang mempunyai review yang bagus. Jika penjual tu ada history yang baik, itu menandakan mereka penjual yang asli. Contohnya jika seller mempunyai gold crown atau diamond itu memang sudah bagus. Jika penjual mendapat feedback yang tinggi maksudnya komunikasi mereka dengan pelanggan adalah bagus.

8.Tanya kepada penjual jika mereka boleh mengirim barang ke luar negara. Jika ada penjual yang tahu bahasa English tu mudahlah untuk anda berhubung dengan mereka. Anda perlu alert dengan jenis barang yang tidak boleh dibawa masuk ke negara dan juga jika terdapat caj tambahan.

9.Tempoh penghantaran barang mungkin mengambil masa di antara 7-40 hari. Jika anda menggunakan penghantaran laut memang lambat lah sampai tetapi sesuai untuk barang yang besar dan banyak. Jika anda menggunakan Air Mail memang barang cepat sampai tetapi kosnya tinggi.

7.Disebabkan Taobao ni di dalam bahasa mandarin dan tidak semua orang tahu mandarin serta proses pembelian yang mungkin merumitkan, maka di sinilah khidmat agent diperlukan. Dengan menggunakan agent, tugas anda menjadi sangat mudah.

Agent inilah nanti yang akan menguruskan pembelian dan penghantaran produk. Anda hanya perlu membayar sejumlah yuran perkhidmatan kepada mereka. Di Malaysia terdapat banyak agent Taobao. Pilihlah yang terbaik.

Dengan maklumat yang saya kongsikan di sini saya berharap anda dapat menjadi pembeli dan pengguna Taobao yang lebih bijak. Namun jika anda masih keliru dan ingin tahu keterangan terperinci bagaimana untuk berjaya perniagaan Taobao, anda boleh rujuk sini.


Read more

Thursday, 7 April 2016

Mengapa Bisnes Online Wajib Daftar Perniagaan SSM Bermula 2017

Dari hari ke hari kita dapat lihat semakin ramai orang melakukan bisnes online samada melalui Facebook, Instagram, blog, website dan sebagainya. Mungkin ramai lagi yang belum mendaftar perniagaan. Yelah, kalau setakat jual sepasang kasut tu, yang kita dah taknak pakai dah, takkan nak daftar dengan SSM juga kan? Anda jangan terkejut, sebab bermula tahun 2017, semua orang, walaupun anda jual sehelai baju saja anda diwajibkan untuk daftar perniagaan dengan SSM! Anda jual barang secara part time ke, full time ke, dropship ke, jual sebijik second hand phone pun kena daftar juga.
bisnes online wajib daftar ssm 2017

Sebenarnya tujuan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) adalah untuk membanteras kegiatan penipuan atau scammer yang berleluasa di dalam internet. Kalau anda pernah membeli melalui mudah.my, di situ memang lubuk scammer cari duit haram. Jika kita salah langkah, duit kita akan lenyap dimakan scammer. Kita tak dapat nak minta balik duit sebab mudah.my tidak menyediakan perlindungan kepada pengguna. Anda jual atau beli barang, anda tanggung sendiri risikonya.

Terdapat dua jenis perniagan iaitu perniagaan tunggal dan perniagaan perkongsian. Anda boleh mendaftar di mana-mana kaunter SSM atau secara online di Perkhidmatan e-lodgement. Yuran untuk nama tred adalah RM60 setahun, nama sendiri adalah RM30 setahun dan RM5 untuk setiap cawangan. Sijil anda akan siap dalam hanya sejam!

Saya tahu ramai yang memberi respons berbeza ke atas perlaksanaan ini. Ramai yang setuju, ramai juga yang tidak setuju. Yang baiknya tentang perlaksanaan ini adalah, kita dapat mengelak dari kes penipuan. Kita juga dapat menyemak maklumat si penjual melalui SSM. Sebagai pembeli kita akan berasa yakin dan selamat.

Yang tidak bestnya adalah jika menjual satu barang saja pun kena daftar juga. Kalau satu barang yang nak dijual tu berharga RM10 saja, memang lah tak berbaloi nak jual. Untung tak dapat, tapi nak bayar SSM. Kalau tu sajalah barang yang dijual seumur hidup, macam tak berbaloi nak buat lesen perniagaan tu kan. Yelah tak semua orang suka berbisnes. Tak semua orang serius dalam bisnes.

Disebabkan perlaksanaan ini mungkin ramai juga yang berasa takut nak buat bisnes online. Takut nanti kena cekup sebab bisnes haram. Nak bayar hukuman bukannya murah.
Jika anda mempunyai kedai online tu tak kisah lah di mana, berdaftarlah segera. Jika inginkan  kepastian anda boleh bertanya kepada pihak yang berwajib. Ini bertujuan mengelakkan anda dikenakan tindakan undang-undang yang bakal menyusahkan nanti.

Jika anda ditangkap anda boleh didakwa di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang membawa hukuman penjara tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.


Besar hukumannya bukan? Kesian juga kat student tu yang nak cari duit poket extra untuk perbelanjaan di universiti/kolej. Jika sebelum ni mereka dapat cari duit sampingan, tapi selepas ni mungkin payah dah. Lainlah kalau jualan mereka kencang mungkin bayaran RM60 tu tak terasa. Kalau mereka yang sekadar suka-suka tu mungkin terasa berat  jugaklah RM60 tu. Hati nak buat bisnes online pun ada rasa kecut dah. Huhu...semoga perlaksanaan ini adil untuk semua pihak.
Read more

Pelan Internet 4G LTE Termurah Laju RM10 Sebulan, 20GB Dari Webe TM-P1

Mesti ramai lagi tidak kenal dengan simkad Webe. Webe adalah servis 4G LTE yang diperkenalkan oleh P1 dan Telekom Malaysia. Ia akan mula dipasarkan dalam bulan April ni, tahun 2016. Maklumat terperinci mengenai Webe belum lagi dikenalpasti. 
Namun P1 dipercayai akan memperkenalkan pelan postpaid pada hanya RM10 sebulan dengan 20GB data, 1000 minit suara, dan 1000 SMS. Kedengaran sangat mengujakan bukan? Apapun semua maklumat ini belum dipastikan lagi.
pelan internet 4G webe
                                        (Sumber Imej: malaysianwireless)
RM10 untuk data 20GB memang sangat sangat murah. Mana lagi nak cari yang seumpamanya. Kalau saya guna Celcom, RM10 tu saya hanya boleh dapat 500mb data internet, tak termasuk internet burung hantu lah. Kalau nak internet free tu kita kena jadi burung hantu dulu baru dapat guna. Kalau jadi manusia biasa ni memang tak layaklah jawabnya. Hari-hari jadi burung hantu tak tahan juga kan? Lainlah kalau sudah dilahirkan sebagai burung hantu.

Kalau Digi tu, RM7 tu boleh dapat data 350mb saja. Kalau RM15 dapat data 900mb saja, tak sampai 1 GB pun. Macam kedekut pula alang-alang 900mb. Bagi saya kadar internet di Malaysia ni memang sangat mahal dan agak membebankan. Kalau yang paling murah tu pun kita hanya dapat guna Whatsapp dan yang simple-simple saja. Kalau nak online tu memang tak dapat bertahan lama.

Oppsss! Saya terlanjur pula bercerita tentang keburukan data plan telco lain. Saya tadi bercerita data plan untuk simkad prepaid. Kalau postpaid tu saya tak tahu..huhu..dah lama tak follow dan dah lama tak guna.
Okay. Berbalik kepada kisah servis 4G dari Webe.

Menurut satu sumber, P1 dan TM telah memeterai perjanjian dengan Celcom dan Webe akan menggunakan jaringan Celcom di seluruh negara. Jika selama ini telco-telco gergasi seperti Celcom, Digi, Maxis dan Umobile sahaja yang kita dengar, tak lama lagi kita akan diperkenalkan dengan Webe yang dijangka akan memberi saingan sengit kepada telco sedia ada. Mudah-mudahan servisnya lebih mantap dan memihak kepada pengguna.

Melihat pada gambar simkad, yang kelihatan hanyalah jenama Webe. Tidak kelihatan nama Telekom Malaysia atau P1. Jika kita lihat, dengan simkad tersebut kita boleh memasukkannya ke dalam phone saja dan boleh berhubung dengan orang lain.

Berdasarkan maklumat online, Webe dijangka akan dilancarkan pada 13 April 2016. Kita berharaplah agar pelan tersebut menjadi kenyataan. Tapi jangan berharap terlalu tinggi, takut nanti kecewa yang teramat sangat pula.

Untuk pengetahuan anda semua, Webe sebelum ini adalah sebuah website komuniti dan ia tiada kena mengena dengan simkad.

Semoga dengan wujudnya servis baru ini, pelan internet di Malaysia menjadi lebih mampu dimiliki dan servisnya juga lebih baik. Ketika ini internet di Malaysia ni boleh dikatakan lebih slow dan mahal berbanding kebanyakan negara lain. Huhuu..

Read more